Friday, December 10, 2010

Salah posmenkah?

Macam biasa setiap sabtu, Anton suka temankan Datuk Lee pusing-pusing kota sambil makan aiskrim jagung. Tak padan dengan gigi dah kurang tapi aiskrim tetap mahu 3 batang. Tapi pagi Sabtu tu Datuk Lee tak nak keluar jalan-jalan. Datuk Lee ajak Anton ke majlis kahwin rakan baiknya, Encik Rosso. Sebenarnya, Encik Rosso ini ialah rakan Datuk Lee sejak zaman sekolah rendah lagi. Encik Rosso dulu ketua kebersihan kelas, bendahari kelab alam sekitar dan ada membela seekor babi hutan nama Fringe. Kad kahwin berwarna biru emas dihulur, alamat tak jauh hanya terletak di bandar. Ohh, pasti orang kenamaan. 

Lepas sarapan kepingan jagung bakar, Datuk Lee segak memakai baju kemeja Polo berseluar khakis. Kereta antik Volkswagen hijau bergerak ke arah utara, arah bandar. Perjalanan hanya 20 minit, belok kiri, belok kanan, pusing round about, ambil kanan, belok kiri dan u-turn dan sampai sudah di kawasan yang diinginkan. Mengikut peta, rumah Encik Rosso terletak di belakang tadika. Ya. Itu tadika! Tapi mana rumah En Rosso, nombor 45? Pasti ada khemah atau bunga atau banner besar untuk meraikan majlis bersejarah inikan?

"Anton, berhenti. Mari kita tanya orang tua itu", arah Datuk Lee sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah orang tua yang bertongkat itu. "Apa Datuk Lee tak sedar yang dia juga tua?", bisik hati Anton. 

"Eh, sayalah Encik Rosso Mortyno. Dan rumah nombor 45 ini memang rumah saya, tak mungkin saya silap. Tentang tadika tu... Sudah 20 tahun diroboh, sampai sekarang penduduk masih belum dapat pampasan. Apa punya kerajaan! Err... Kamu berdua ini siapa?", balas Encik Rosso yang bersuara serak-serak basah ala penyanyi rock 80-an.

Terus serta-merta Datuk Lee keluar kereta dan memeluk Encik Rosso dan ucap tahniah. "Rosso, tahniah! Akhirnya kahwin juga kau! Tahniah! Tapi, mana kendurinya? Adakah aku terlambat?", terjah Datuk Lee bertubi-tubi. Jelas di raut wajah Encik Rosso keliru. Mulutnya ternganga lopong dan bertanya, "Kahwin? Siapa yang berkahwin? dan kamu ini siapa?"

Lantas Datuk Lee menunjukkan kad kahwin biru emas Encik Rosso. Ditunjuk-tunjukkan alamat rumah dan peta di kad itu. Anton yang masih di kerusi pemandu mematikan enjin sambil memegang perut yang berbunyi-bunyi akibat lapar. Tapi, Encik Rosso gelak tiba-tiba...

"Hahah. Ya. Kad ini memang kad kahwin aku", jelas Encik Rosso. "Tapi, aku sudah berkahwin 40 tahun yang lepas. Dan kad ini juga sudah aku pos 40 tahun yang dulu. Tidak ke kau cek tahun kad ini wahai sahabat?"

Secara tidak sengaja, taik burung jatuh ke cermin kereta.

2 comments:

ainnur farahinn said...

errr..hahahaha! apa punya turrr...!

Unknown said...

sengal punya posmen..lmbt40 tahun surat baru sampai.pos malaysia pndai simpan surat